Saturday, September 12, 2009

Kesudahan yang Menyedihkan (the last stand)

.........................


Aku membuka kedua-dua mataku, perlahan-lahan. Seluruh badanku terasa lemah, bagaikan tiada tenaga. Aku menoleh ke arah kananku, kelihatan seorang wanita duduk tertidur sambil memegang tanganku, erat. Ya, dialah ibuku. Aku pasti, amat pasti.


“I..I..bu..”panggilku, namun suaraku masih lemah dan tidak kuat. Ibu tersentak, terjaga daripada tidurnya lalu memandang ke arah wajahku yang masih lagi pucat. Wajahnya riang, meluru keluar dan memanggil doktor. Maafkanlah aku, ibu. Aku telah membuat awak risau tentang diriku. Tanpa disedari, aku telah terlantar di atas katil hospital hampir empat bulan lamanya. Tempoh yang amat lama. Tempoh yang menyeksa ibuku selama ini. Tetapi hari ini, aku gembira. Aku baru sahaja menamatkan kesengsaraan ibuku yang tercinta ini. Ibuku memberitahuku, esok adalah hari jadiku, juga merupakan hari untuk semua orang mengambil slip keputusan STPM. Ingin juga aku mengambilnya sendiri, tetapi keadaan aku kini tidak mengizinkannya.


Sepanjang hari ini, aku ditemani ibu dan adik-adikku. Aku hanya dapat mendengar cerita mereka, peristiwa yang mengambil tempat selama ini. Aku tersenyum. Syukurlah, semuanya masih belum berubah. Tiba-tiba kepalaku terasa amat sakit. Aku ingin menjerit, namun tiada kata-kata yang keluar dari mulutku. Cecair yang berwarna merah mula mengaliri kepalaku. Manusia yang menemani aku tadi menjerit ketakutan. Ibuku segera mendapatkan doktor. Entah apa yang sedang berlaku. Namun, kesakitan yang menggigit kepalaku tidak dapat aku tanggung lagi. Aku pengsan.


Matahari sudah menjelma, aku pun bangun daripada tidur semalam. Ganjil, kali ini aku dapat bergerak bebas. Aku tersenyum riang. Tanpa membuang masa, aku meluru keluar, mendapatkan ibuku untuk memberitahu berita baik ini. Sebaik sahaja aku melangkah keluar dari pintu wad, aku dapat melihat ibu dan adikku terduduk di atas bangku, menangis. Hairan. Aku segera mendapatkan mereka, berlari meluru ke arahnya. Sebelum aku berjaya, Cikgu Ranjit bersama tiga orang pelajar yang lain mendapatkan mereka terlebih dahulu. John, Ric dan Jes rupanya. Mereka pasti datang untuk menumpang berita baik aku ini, fikirku.


“Tahniah, puan! Win dapat keputusan yang terbaik, 10 terbaik dalam negara, 4A!” kata Cikgu Ranjit, tercungap-cungap. Aku tersenyum, usahaku selama ini telah membuahkan hasilnya dan tidak mengecewakan manusia yang meletakkan harapan masing-masing di atas bahuku. Aku mula berjalan perlahan, tidak lagi berlari. Aku berharap mereka tersedar akan kehadiranku lalu mendekapku. Tiba-tiba, sekumpulan jururawat memintas jalanku. Mereka menolak sekejur tubuh yang diliputi kain putih. Doktor datang menghampiri ibuku.


“Maafkan kami, puan. Kami sudah buat yang terbaik namun Tuhan yang lebih menyayanginya,” kata doktor. Air mata mula berlinangan di pipi setiap manusia yang aku kenali di situ. Kain putih itu ditarik. Aku tersentak. Wajahnya seiras dengan wajahku, tiada perbezaan.


Aku tersenyum. Kini aku mengerti. Rupanya, aku sudah tewas dalam peperangan ini. Tuhan telah member aku hadiah hari jadi aku semalam, untuk melihat dunia buat kali terakhir, untuk melihat wajah orang yang aku kasihi. Kini semua insan di hadapan mataku menangis dan memeluk tubuh yang tidak bernyawa itu, menjerit-jerit namaku. Hatiku sayu, pedih. Aku ingin bersuara, namun tiada orang yang mampu mendengarnya.


Aku berjalan, beredar dari tempat tersebut. Aku sedar, aku tidak lagi dimiliki dunia ini. Aku ingin menoleh dan melihat wajah manusia yang sedang menangis kesedihan, namun aku batalkan niat ini sahaja. Berat rasa hatiku ini. Tidak sampai hati untuk aku melepaskan segala-galanya di sini. Segala yang kutempuhi selama ini. Segala yang kuusahakan selama ini. Semuanya sia-sia sahaja? Ataupun sekurang-kurangnya membuahkan sedikit hasil yang boleh mengubati rasa duka cita semua orang? Adakah kesudahan seperti ini yang patut aku lalui? Ataupun Tuhan telah membuat satu kesilapan yang besar? Tiada sesiapa pun yang mampu memberikan jawapannya.

.............................

goodbye to my friend..rip

1 comment:

  1. u reali make it ‘kesudahan yang menyedihkan’… juz wana say, izit human reali nt able 2 confront d fate??? wat human can do is juz do whatever tat can 2 make sure tat they wont regret later, coz v cant foresee our futures… n v duno as v miz d chance, izit stil another chance waiting 4 us… o v wil b regret 4 it 4ever… haiz… nex time ur cerpen can gv me sum hope, when I read it…

    ReplyDelete